Adam a.s dan Hawa (Ilustrasi) |
Segala kesenangan ada di dalamnya. Semua tersedia apa saja yang
diinginkan, tanpa bersusah payah memperolehinya. Sungguh suatu tempat yang amat
indah dan permai, menjadi idaman setiap insan. Demikianlah menurut riwayat,
tatkala Allah SWT. selesai mencipta alam semesta dan makhluk-makhluk lainnya,
maka dicipta-Nya pula Adam ‘alaihissalam sebagai manusia pertama. Hamba yang
dimuliakan itu ditempatkan Allah SWT di dalam Syurga (Jannah).
Adam a.s hidup sendirian dan sebatang kara, tanpa mempunyai seorang
kawan pun. Ia berjalan ke kiri dan ke kanan, menghadap ke langit-langit yang
tinggi, ke bumi terhampar jauh di seberang, maka tiadalah sesuatu yang
dilihatnya dari mahkluk sejenisnya kecuali burung-burung yang berterbangan ke
sana ke mari, sambil berkejar-kejaran di angkasa bebas, bernyanyi-nyanyi,
bersiul-siul, seolah-olah mempamerkan kemesraan. Adam a.s terpikat melihatnya,
rindu berkeadaan demikian. Tetapi sungguh malang, siapalah gerangan kawan yang
hendak diajak. Ia merasa kesepian, lama sudah. Ia tinggal di syurga bagai orang
kebingungan, tiada pasangan yang akan dibujuk bermesra sebagaimana
burung-burung yang dilihatnya.
Tiada pekerjaan sehari-hari kecuali bermalas-malas begitu saja,
bersantai berangin-angin di dalam taman syurga yang indah permai, yang
ditumbuhi oleh bermacam bunga-bunga kuntum semerbak yang wangi, yang di
bawahnya mengalir anak-anak sungai bercabang-cabang, yang desiran airnya bagai
mengandung pembangkit rindu.
Adam Kesepian
Apa saja di dalam syurga semuanya nikmat! Tetapi apalah erti segalanya
kalau hati selalu gelisah resah di dalam kesepian seorang diri? Itulah
satu-satunya kekurangan yang dirasakan Adam a.s di dalam syurga. Ia perlu
kepada sesuatu, iaitu kepada kawan sejenis yang akan mendampinginya di dalam
kesenangan yang tak terhingga itu. Kadangkala kalau rindu dendamnya datang,
turunlah ia ke bawah pohon-pohon rendang mencari hiburan, mendengarkan burung-burung
bernyanyi bersahut-sahutan, tetapi aduh hai kasihan...bukannya hati menjadi
tenteram, malah menjadi lebih tertikam. Kalau angin bertiup sepoi-sepoi basah
di mana daun-daunan bergerak lemah gemalai dan mendesirkan suara sayup-sayup,
maka terkesanlah di hatinya keharuan yang begitu mendalam; dirasakannya sebagai
derita batin yang tegak di sebalik nikmat yang dianugerahkan Tuhan kepadanya.
Tetapi walaupun demikian, agaknya Adam a.s malu mengadukan halnya kepada
Allah SWT. Namun, walaupun Adam a.s malu untuk mengadu, Allah Ta'ala sendiri
Maha Tahu serta Maha Melihat apa yang tersembunyi di kalbu hamba-Nya. Oleh itu
Allah Ta'ala ingin mengusir rasa kesepian Adam.
Hawa Diciptakan
Tatkala Adam a.s sudah berada di puncak kerinduan dan keinginan untuk
mendapatkan kawan, sedang ia lagi duduk terpekur di atas tempat duduk yang
berlapiskan tilam permaidani serba mewah, maka tiba-tiba ngantukpun datanglah
menawannya serta langsung membawanya hanyut ke alam tidur. Adam a.s tertidur
nyenyak, tak sedar kepada sesuatu yang ada di sekitarnya. Dalam saat-saat yang
demikian itulah Allah SWT menyampaikan wahyu kepada malaikat Jibril a.s untuk
mencabut tulang rusuk Adam a.s dari lambung sebelah kiri. Bagai orang yang
sedang terbius, Adam a.s tidak merasakan apa-apa ketika tulang rusuknya
dicabut oleh malaikat Jibril a.s.
Dan oleh kudrat kuasa Ilahi yang manakala menghendaki terjadinya sesuatu
cukup berkata “Kun!” maka terciptalah Hawa dari tulang rusuk Adam a.s, sebagai
insan kedua penghuni syurga dan sebagai pelengkap kurnia yang dianugerahkan
kepada Adam a.s yang mendambakan seorang kawan tempat ia boleh bermesra dan
bersenda gurau.
Pertemuan Adam a.s dan Hawa
awa duduk bersandar pada bantal lembut di atas tempat duduk megah yang
bertatahkan emas dan permata-permata bermutu manikam, sambil terpesona
memperhatikan kecerahan wajah dari seorang lelaki kacak yang sedang terbaring,
tak jauh di depannya. Butir-butir pikiran yang menggelombang di dalam sanubari
Hawa seolah-olah merupakan arus-arus tenaga elektrik yang datang mengetuk kalbu
Adam a.s, yang langsung menerimanya sebagai mimpi yang berkesan di dalam
gambaran jiwanya seketika itu.
Adam terjaga....! Alangkah terkejutnya ia ketika dilihatnya ada makhluk
manusia seperti dirinya hanya beberapa langkah di hadapannya. Ia seolah tak
percaya pada penglihatannya. Ia masih terbaring mengusap matanya beberapa kali
untuk memastikan apa yang sedang dilihatnya. Hawa yang diciptakan lengkap
dengan perasaan malu, segera memutar badannya sekadar untuk menyembunyikan
bukit-bukit di dadanya, seraya mengirimkan senyum manis bercampur manja,
diiringi pandangan melirik dari sudut mata yang memberikan sinar harapan bagi
hati yang melihatnya.
Memang dijadikan Hawa dengan bentuk dan paras rupa yang sempurna. Ia
dihiasi dengan kecantikan, kemanisan, keindahan, kejelitaan, kehalusan,
kelemah-lembutan, kasih-sayang, kesucian, keibuan dan segala sifat-sifat
keperibadian yang terpuji di samping bentuk tubuhnya yang mempesona serta
memikat hati setiap yang memandangnya. Ia adalah wanita tercantik yang
menghiasai syurga, yang kecantikannya itu akan diwariskan turun temurun di hari
kemudian, dan daripadanyalah maka ada kecantikan yang diwariskan kepada
wanita-wanita yang datang dibelakangnya.
Adam a.s pun tak kurang gagah dan kacaknya. Tidak dijumpai cacat pada
dirinya kerana ia adalah satu-satunya makhluk insan yang dicipta oleh Allah SWT
secara langsung tanpa perantaraan. Semua kecantikan yang diperuntukkan bagi
lelaki terhimpun padanya. Kecantikan itu pulalah yang diwariskan turun temurun
kepada orang-orang di belakangnya sebagai anugerah Allah SWT kepada
makhluk-Nya yang bergelar manusia. Bahkan diriwayatkan bahawa kelak semua
penduduk syurga akan dibangkitkan dengan pantulan dari cahaya rupa Adam a.s.
Adam a.s bangkit dari pembaringannya, memperbaiki duduknya. Ia membuka
matanya, memperhatikan dengan pandangan tajam. Ia sedar bahawa orang asing di
depannya itu bukanlah bayangan selintas pandang, namun benar-benar suatu
kenyataan dari wujud insani yang mempunyai bentuk fizikal seperti dirinya. Ia
yakin ia tidak salah pandang. Ia tahu itu manusia seperti dirinya, yang hanya berbeza
kelaminnya saja. Ia serta merta dapat membuat kesimpulan bahawa makhluk di
depannya adalah perempuan. Ia sedar bahawa itulah dia jenis yang dirindukannya.
Hatinya gembira, bersyukur, bertahmid memuji Zat Maha Pencipta.
Ia tertawa kepada gadis jelita itu, yang menyambutnya tersipu-sipu
seraya menundukkan kepalanya dengan pandangan tak langsung, pandangan yang
menyingkap apa yang terselit di kalbunya.
Adam Terpikat
Adam terpikat pada rupa Hawa yang jelita, yang bagaikan kejelitaan segala
puteri-puteri yang bermastautin di atas langit atau bidadari-bidadari di dalam
syurga. Tuhan menanam asmara murni dan hasrat berahi di hati Adam a.s serta
menjadikannya orang yang paling asyik dilamun cinta, yang tiada taranya dalam
sejarah, iaitu kisah cinta dua insan di dalam syurga. Adam a.s ditakdirkan
jatuh cinta kepada puteri yang paling cantik dari segala yang cantik, yang
paling jelita dari segala yang jelita, dan yang paling harum dari segala yang
harum.
Adam a.s dibisikkan oleh hatinya agar merayu Hawa. Ia berseru: “Aduh,
hai si jelita, siapakah gerangan kekasih ini? Dari manakah datangmu, dan untuk
siapakah engkau disini?” Suaranya sopan, lembut, dan penuh kasih sayang. “Aku
Hawa,” sambutnya ramah. “Aku dari Pencipta!” suaranya tertegun seketika.
“Aku....aku....aku, dijadikan untukmu!” tekanan suaranya menyakinkan.
Tiada suara yang seindah dan semerdu itu walaupun berbagai suara merdu
dan indah terdengar setiap saat di dalam syurga. Tetapi suara Hawa....tidak
pernah di dengarnya suara sebegitu indah yang keluar dari bibir mungil si
wanita jelita itu. Suaranya membangkit rindu, gerakan tubuhnya menimbulkan semangat.
Kata-kata yang paling segar didengar Adam a.s ialah tatkala Hawa
mengucapkan terputus-putus: “Aku....aku....aku, dijadikan untukmu!” Kata-kata
itu nikmat, menambah kemesraan Adam kepada Hawa.
Adam a.s sedar bahawa nikmat itu datang dari Tuhan dan cintapun datang
dari Tuhan. Ia tahu bahawa Allah SWT itu cantik, suka kepada kecantikan. Jadi,
kalau cinta kepada kecantikan berertilah pula cinta kepada Tuhan. Jadi cinta
itu bukan dosa tetapi malah suatu pengabdian. Dengan mengenali cinta, makrifah
kepada Tuhan semakin mendalam. Cinta kepada Hawa bererti cinta kepada Pencipta.
Dengan keyakinan demikian Adam a.s menjemput Hawa dengan berkata: “Kekasihku,
ke marilah engkau!” Suaranya halus, penuh kemesraan.
“Aku malu!” balas Hawa seolah-olah menolak. Tangannya, kepalanya,
memberi isyarat menolak seraya memandang Adam dengan penuh ketakjuban.
“Kalau engkau yang inginkan aku, engkaulah yang ke sini!” Suaranya yang
bagaikan irama seolah-olah memberi harapan.
Adam tidak ragu-ragu. Ia mengayuh langkah gagah mendatangi Hawa. Maka
sejak itulah teradat sudah bahwa wanita itu didatangi, bukan mendatangi. Hawa
bangkit dari tempat duduknya, menggeser surut beberapa langkah. Ia sedar bahawa
walaupun dirinya diperuntukkan bagi Adam a.s, namunlah haruslah mempunyai
syarat-syarat tertentu. Di dalam sanubarinya, ia tak dapat menyangkal bahawa
iapun terpesona dan tertarik kepada rupa Adam a.s yang sungguh indah.
Adam a.s tidak putus asa. Ia tahu itu bukan dosa. Ia tahu membaca isi
hati. Ia tahu bukannya Hawa menolak, tetapi menghindarnya itu memanglah suatu
perbuatan wajar dari sikap malu seorang gadis yang berbudi. Ia tahu bahawa di
balik “malu” terselit “rasa mahu”. Kerananya ia yakin pada dirinya bahawa Hawa
diperuntukkan baginya. Naluri insaninya bergelora.
Tatkala sudah dekat ia pada Hawa serta hendak mengulurkan tangan sucinya
kepadanya, maka tiba-tiba terdengarlah panggilan ghaib berseru:
“Hai Adam....tahanlah dirimu. Pergaulanmu dengan Hawa tidak halal kecuali dengan mahar dan menikah!”. Adam a.s tertegun, balik ke tempatnya dengan taat. Hawa pun mendengar teguran itu dan hatinya tenteram. Kedua-dua manusia syurga itu sama terdiam seolah-olah menunggu perintah.
“Hai Adam....tahanlah dirimu. Pergaulanmu dengan Hawa tidak halal kecuali dengan mahar dan menikah!”. Adam a.s tertegun, balik ke tempatnya dengan taat. Hawa pun mendengar teguran itu dan hatinya tenteram. Kedua-dua manusia syurga itu sama terdiam seolah-olah menunggu perintah.
Perkawinan Adam a.s dan Hawa
Allah SWT. Yang Maha Pengasih untuk menyempurnakan nikmatnya lahir
dan batin kepada kedua hamba-Nya yang saling memerlukan itu, segera
memerintahkan gadis-gadis bidadari penghuni syurga untuk menghiasi dan
menghibur mempelai perempuan itu serta membawakan kepadanya hantaran-hantaran
berupa perhiasan-perhiasan syurga. Sementara itu diperintahkan pula kepada
malaikat langit untuk berkumpul bersama-sama di bawah pohon “Syajarah Thuba”,
menjadi saksi atas pernikahan Adam dan Hawa.
Diriwayatkan bahwa pada akad pernikahan itu Allah SWT. berfirman : "Segala Puji adalah kepunyaan-Ku, Segala Kebesaran adalah Pakaian-Ku, Segala Kemegahan adalah Hiasan-Ku dan segala Mahluk adalah Hamba-Ku dan dibawah Kekuasaan-Ku. Menjadi saksilah kamu hai para malaikat dan para penghuni langit dan surga bahwa Aku menikahkan Adam dengan Hawa, kedua ciptaan-Ku dengan Mahar, dan hendaklah keduanya bertahlil dan bertahmid kepada-Ku!".
Setelah akad nikah selesai berdatanganlah para malaikat dan para bidadari
menyebarkan mutiara-mutiara yaqut dan intan-intan permata kemilau kepada kedua pengantin
agung tersebut. Selesai upacara akad, dihantarlah Adam a.s mendapatkan
isterinya di istana megah yang akan mereka diami.
Hawa menuntut haknya. Hak yang disyariatkan Tuhan sejak semula. “Mana
mahar?” tanyanya. Ia menolak persentuhan sebelum mahar pemberian ditunaikan
dahulu. Adam a.s bingung seketika. Lalu sedar bahawa untuk menerima haruslah
sedia memberi. Ia insaf bahawa yang demikian itu haruslah menjadi kaedah
pertama dalam pergaulan hidup. Sekarang ia sudah mempunyai kawan. Antara sesama
kawan harus ada saling memberi dan saling menerima. Pemberian pertama pada
pernikahan untuk menerima kehalalan ialah mahar. Oleh kerananya Adam a.s
menyedari bahawa tuntutan Hawa untuk menerima mahar adalah benar.
Mahar Perkawinan Adam
Pergaulan hidup adalah persahabatan! Dan pergaulan antara lelaki dengan
wanita akan berubah menjadi perkahwinan apabila disertai dengan mahar. Dan kini
apakah bentuk mahar yang harus diberikan? Itulah yang sedang difikirkan Adam.
Untuk keluar dari keraguan, Adam a.s berseru : “Ilahi, Rabbi! Apakah
gerangan yang akan kuberikan kepadanya? Emaskah, intankah, perak atau
permata?”.
“Bukan!” kata Tuhan.
“Apakah hamba akan berpuasa atau solat atau bertasbih untuk-Mu sebagai
maharnya?” tanya Adam a.s dengan penuh pengharapan.
“Bukan!” tegas suara Ghaib.
Adam diam, mententeramkan jiwanya. Kemudian bermohon dengan tekun:
“Kalau begitu tunjukilah hamba-Mu jalan keluar!”.
Allah SWT. berfirman : "Mahar Hawa Ialah Salawat 10x atas Nabi-Ku, Nabi yang bakal Kubangkit yang akan membawa peryataan dari Sifat-sifat-Ku : Muhammad, Cincin permata dari para Anbiya' dan penutup serta penghulu segala Rasul. Ucapkanlah 10x!' Adam a.s merasa lega. Ia mengucapkan 10x Salawat ke atas Nabi Muhammad SAW. sebagai Mahar kepada Isterinya. Suatu Mahar yang bernilai spiritual, karena Nabi Muhammad SAW adalah Rahmatan Lil'alamin (Rahmat Bagi Seluruh Alam).
Hawa mendengarkannya dan menerimanya sebagai mahar. “Hai Adam, kini Aku
halalkan Hawa bagimu”, perintah Allah, “dan dapatlah ia sebagai isterimu!”.
Adam a.s bersyukur lalu memasuki isterinya dengan ucapan salam. Hawa
menyambutnya dengan segala keterbukaan dan cinta kasih yang seimbang.
Allah SWT. berfirman kepada mereka : "Hai Adam, Diamlah engkau bersama isterimu di dalam Syurga dan makanlah (Serta Nikmatilah) apa saja yang kamu berdua inginkan, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini karena (Apabila Mendekatinya/Memakannya) kamu berdua akan menjadi Dzalim". (Al-A'raaf:19).
Dengan pernikahan ini Adam a.s tidak lagi merasa kesepian di dalam
syurga. Inilah percintaan dan pernikahan yang pertama dalam sejarah ummat
manusia, dan berlangsung di dalam syurga yang penuh kenikmatan. Iaitu sebuah
pernikahan agung yang dihadiri oleh para bidadari, jin dan disaksikan oleh para
malaikat.
Peristiwa pernikahan Adam dan Hawa terjadi pada hari Jumaat. Entah
berapa lama keduanya berdiam di syurga, hanya Allah SWT yang tahu. Lalu
keduanya diperintahkan turun ke bumi. Turun ke bumi untuk menyebar luaskan
keturunan yang akan mengabdi kepada Allah SWT dengan janji bahawa syurga
itu tetap tersedia di hari kemudian bagi hamba-hamba yang beriman dan beramal
soleh.
Sumber Dari : http://www.darulnuman.com
0 comments:
Post a Comment